CYBERJAYA, 30 Nov (Bernama) -- Kadar penembusan jalur lebar isi rumah di negara ini melonjak dengan mendadak kepada lebih daripada 54 peratus daripada 31.7 peratus pada akhir tahun lepas, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.
Beliau berkata kadar langganan selular mudah alih kini pada sekitar 110 peratus manakala sejumlah 17 juta rakyat Malaysia melanggani internet.Malaysia menduduki antara tempat yang teratas dalam perangkaian sosial, katanya.
"Kesemua ini menunjukkan selera dan kemampuan rakyat Malaysia menerima trend dan penawaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta potensi bagi kita meningkat ke tahap lebih tinggi dalam bidang ini," katanya ketika merasmikan pembukaan simposium Gaya Hidup dan Teknologi Rumah Digital di sini Selasa.
Kadar terbaru penembusan jalur lebar isi rumah ini telah melepasi sasaran 50 peratus yang ditetapkan bagi akhir tahun ini dan disasarkan mencecah 75 peratus menjelang 2015.
Salang berkata peserta industri harus mengkaji peluang untuk memperluas perkhidmatan semasa mereka bagi merangkumi perkhidmatan rumah digital.
Pengeluar, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang menceburi bidang elektronik ICT harus meneroka peluang yang ada bagi mereka, manakala institusi penyelidikan dan akademik harus memainkan peranan masing-masing sewajarnya dalam sektor ini, katanya.
Bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula, kata timbalan menteri itu, ia akan memastikan semua aspek di bawah bidang kuasanya diberikan perhatian dalam mengorak langkah ke arah mencapai agenda rumah digital, tegasnya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan