Seperti yang dinyatakan terdahulu, usaha untuk melaksanakan Pelan Jalur Lebar Negara telah diperkukuhkan dengan inisiatif-inisiatif baru NBI. Dibawah NBI, pelaksanaan jalur lebar dibahagikan kepada tiga (3) kawasan utama iaitu Zon 1, 2 dan 3, Zon 1 adalah kawasan tinggi impak ekonomi seperti kawasan Lembah Kelang dan kawasan-kawasan pembangunan seperti kawasan Korridor Pembangunan Iskandar Malaysia di Johor. Kawasan-kawasan ini dijangka menyumbang 25 peratus kepada penembusan jalur lebar selain daripada sumbangan kepada ekonomi.
Inisiatif HSBB merangkumi kawasan-kawasan tersebut, bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain untuk populasi Malaysia keseluruhannya?
Pelaksanaan NBI, sama seperti pelaksanaan Model Ekonomi Baru bertujuan untuk semua rakyat Malaysia dapat menikmati faedah pelaksanaannya di seluruh negara. Zon 1 dan 2 merangkumi kawasan bandar dan separa-bandar menerusi pelaksanaan program Jalur Lebar Untuk Orang Awam dan Daerah Digital. Manakala Zon 3 merangkumi kawasan luar bandar dimana keupayaan untuk memiliki perkhidmatan jalur lebar agak rendah. Namun begitu, di Zon 2 dan 3 itulah sebahagian besar populasi Malaysia berada dan dalam pada itu, keperluan rakyat perlu diketemukan.
Pelaksanaan program-program Jalur lebar di Zon 3 perlu campur tangan Kerajaan melalui Suruhanjaya untuk pelaksanaannya melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat atau ‘Universal Service Provision (USP)’. Pembekalan jalur lebar di kawasan-kawasan tersebut termasuklan perkhidmatan telefon, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti. Liputan perkhidmatan telefoni selular juga akan diperluaskan menerusi program USP disamping membantu pembekal perkhidmatan untuk memperluaskan liputan perkhidmatan mereka kepada 97 peratus daripada populasi pada 2011. Objektif utama program USP adalah untuk merapatkan jurang digital antara kawasan yang mempunyai capaian kepada teknologi komunikasi dan kawasan yang kurang mendapat capaian. Dalam pada itu, objektif program USP secara tidak langsung adalah untuk membangunkan aktiviti sekitar Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti agar kemajuan ekonomi dikawasan tersebut dapat ditingkatkan.
Atas galakan Yang Berhormat Menteri agar usaha-usaha pelaksanaan jalur lebar dan merapatkan jurang digital dipercepatkan, Suruhanjaya telah menyelaraskan semula program-program USP dan NBI bersama. Dalam pada itu, program tambahan dikenalpasti dan dirancang dan akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada awal tahun 2010. Inisiatif-inisiatif baru tersebut termasuklah pemberian Komputer Riba 1Malaysia kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan pelajar universiti serta keluarga yang berpendapatan rendah, transformasi Jabatan Penerangan diseluruh negara kepada Pusat Jalur Lebar Kecil (MiniPJK) atau Pusat Jalur Lebar Rakyat dan penambahbaikan liputan selular melalui pembinaan 873 buah menara telekomunikasi di seluruh negara.
Dengan pelaksanaan usaha-usaha awal dan baru tersebut dapat dilihat bahawa Pelan Jalur Lebar Negara bertujuan untuk memperbaiki perhubungan dan penyampaian perkhidmatan jalur lebar kepada semua rakyat Malaysia. Usaha-usaha tersebut bertujuan untuk membawa kemudahan kepada rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan dan berpengetahuan tinggi, di mana semua peringkat masyarakat mempunyai peluang untuk memperbaiki kehidupan masing-masing dalam arus pembangunan negara.
Dipetik daripada Perutusan Pengerusi dalam Laporan Tahunan SKMM 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan