KUALA LUMPUR 23 Mac - "Jalur lebar" bakal menjadi ungkapan popular di kalangan rakyat Malaysia apabila Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) dilaksanakan sepenuhnya.
Menerusi slogan nama "Jalur Lebar Untuk Semua", Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), yang menerajui inisiatif berani itu, akan memastikan semua rakyat Malaysia, sama ada di pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman, mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar.
Pada taklimat khas untuk para editor Bernama mengenai Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan baru-baru ini, Pengerusi MCMC Tan Sri Khalid Ramli berkata, NBI bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan melangkah ke ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Kami mahu meluaskan usaha kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada orang ramai, termasuk mereka yang tinggal di kampung," katanya.
Menerusi inisiatif itu, Suruhanjaya, yang diletakkan di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, menetapkan sasaran perkhidmatan jalur lebar menembusi 50 peratus atau bersamaan 3.2 juta rumah menjelang 2010. Ia akan menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 135,000 peluang pekerjaan baharu tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan yang baharu selain perkhidmatan runcit Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi generasi akan datang (HSBB) Telekom Malaysia di Dataran Merdeka esok.
HSBB kebangsaan bernilai RM11.3 bilion yang merupakan projek perdana NBI, merupakan perjanjian usaha sama awam-swasta antara Telekom Malaysia dan kerajaan bagi membangunkan perkhidmatan dan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang untuk negara.
NBI membahagikan negara kepada tiga zon. Zon satu melibatkan kawasan ekonomi berimpak tinggi seperti kawasan tengah Lembah Klang dan Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor. Zon Dua membabitkan kawasan bandar dan separa bandar yang lain manakala Zon Tiga melibatkan kawasan luar bandar.
Telekom Malaysia akan menawarkan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dengan akses 10 Mbps di zon ini. Penduduk di Zon satu juga akan mendapat akses kepada penyelesaian jalur lebar kompetitif yang lain.
Empat kawasan awal yang akan diliputi perkhidmatan TM HSBB ialah Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar. Pelan NBI membabitkan inisiatif swasta untuk menawarkan jalur lebar ke kawasan Zon Dua. Penawaran jalur lebar di Zon Tiga memerlukan campur tangan MCMC menggunakan dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat (USP).
Peruntukan jalur lebar di kawasan berkenaan termasuk Telefoni Asas (menerusi rangkaian tetap dan mudah alih), Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti (CBL) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (CBC).
Liputan selular di kawasan berkenaan akan diperluas dengan membina lebih banyak menara komunikasi yang dibiayai oleh USP bagi membolehkan operator selular meluaskan liputan masing-masing kepada 97 peratus penduduk menjelang 2011.
Khalid berkata, jalur lebar akan mewujudkan peluang dan pasaran untuk pembangunan aplikasi dan kandungan. Pada masa ini, industri kandungan di Malaysia dianggarkan bernilai RM7 bilion, katanya.
"Orang ramai kini lebih menyedari mengenai perkembangan teknologi maklumat dan saya yakin, lebih ramai akan melanggan perkhidmatan jalur lebar," katanya.
MCMC tidak bersendirian dalam memacu penembusan jalur lebar di negara ini.
Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan, juga meningkatkan usaha untuk meningkatkan Internet dalam bidang kuasa masing-masing.
Pada masa ini, terdapat 16.9 juta pengguna Internet di negara ini, 30.4 juta pelanggan telefon selular dan 7.4 juta langganan selular generasi ketiga dan 1.8 juta isi rumah yang memiliki komputer.
Pada pelancaran esok, Perdana Menteri dijangka mengumumkan penggunaan lebih banyak dana untuk meningkatkan penggunaan jalur lebar di kawasan luar bandar.
Beliau juga dijangka membuat beberapa pengumuman penting berkaitan industri telekomunikasi, terutama jalur lebar berkelajuan tinggi.
---Utusan Malaysia---
Tiada ulasan:
Catat Ulasan